Karya-karya Popular Maha_Vishnu

Vishnu Purana

Antara lapan belas Mahapurana, Vishnu Purana merupakan buku yang paling awal (antara 100 SM hingga 400 Masihi). Vishnu Purana juga memenuhi lima ciri-ciri umum sebuah purana seperti sarga (ciptaan), pratisarga (ciptaan pertengahan) dan sebagainya.

Walaupun Vishnu Purana dikatakan mengandungi sejumlah 23,000 ayat-ayat, kini hanya tinggal 6,400 ayat-ayat bercetak sahaja. Ayat-ayat ini diatur dalam 126 bab dan disusun dalam bentuk enam amsa atau Kitab.

Berbeza daripada purana-purana lain yang secara amnya bermula dengan cerita Suta Romaharsana, purana ini diceritakan oleh Parasara (bapa Vyasa dan cucu Vasishtha) kepada pengikutnya Maitreya.

Vishnu Sahasranama (Seribu Nama-Nama Vishnu)

Kebanyakan nama-nama Vishnu telah dikumpul dalam Vishnu Sahasranama (Seribu nama-nama Vishnu), sebuah karya Sanskrit yang popular dalam epik Mahabharata (Anusasanaparva 149.1-142). Bhishma melafazkan nama-nama ini bagi menjawab soalan Yudhisthira di medan pertempuran Kurukshetra. Menurut pengikut-pengikut mazhab Vaishnavisme, Vishnu Sahasranama mengandungi intipati semua Veda, dan bacaan ikhlas nama-nama ini akan membawa pahala dan meningkatkan kerohanian dan Bhakti seseorang.

Vishnu Sukta

Kitab Veda mengandungi ayat-ayat suci yang dikenali sebagai Sukta untuk beberapa orang dewa. Vishnu Sukta merupakan satu sukta yang popular untuk Dewa Vishnu. Terdapat dua versi ini iaitu, satu dalam Rig Veda dan satu lagi dalam Taittiriya Samhita. Sukta dalam Rig Veda mengandungi 45 rks atau mantera suci. Mantera-mantera ini dinyanyikan semasa upacara Yagna (korban) atau semasa Japa (mengulangi mantera secara sistematik). Contohnya, jika mantera 'tad vipraso...' (Rigveda 1.22.21) diulangi 100 kali setiap hari, orang yang mengulanginya akan mengingati Mahavishnu pada saat kematiannya.